AKPS Perlu Diperhalusi, Hak Imigresen Sabah Mesti Dihormati – Mustapha

AKPS Perlu Diperhalusi, Hak Imigresen Sabah Mesti Dihormati – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud menegaskan bahawa isu berkaitan Akta Kawalan Pergerakan Sabah (AKPS) yang kini ditangguhkan perlu diperhalusi semula bagi mengelakkan kekeliruan, khususnya membabitkan bidang kuasa imigresen Sabah yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan sendiri oleh Kesatuan Jabatan Imigresen Sabah yang mengadakan pertemuan dengannya baru-baru ini bagi menjelaskan isu berkenaan.

“Saya telah meminta taklimat daripada Badan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak mengenai isu ini dan memang saya dapati ada sedikit kekeliruan dalam akta ini yang mungkin perlu diperhalusi.

Jadi saya minta supaya ada sesi libat urus antara agensi yang berkaitan dan kalau perlu kerajaan negeri boleh membawa perkara ini ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Madani SPM 2025 di Sepanggar pada Isnin.

Menurut beliau, sekiranya isu itu masih tidak dapat diselesaikan di peringkat jawatankuasa teknikal, ia akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mustapha menegaskan isu imigresen merupakan antara perkara di bawah senarai kuasa negeri yang perlu dihormati selaras dengan peruntukan MA63.

“Bagi pandangan saya sendiri memang isu-isu imigresen ini antara yang di bawah ‘state list’ dan perlu dihormati dan kita akan pastikan bahawa isu-isu imigresen ini kekal dengan kerajaan negeri seperti yang termaktub dalam perlembagaan MA63,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, Program Anugerah Cemerlang Madani 2025 di Parlimen Sepanggar tahun ini menyaksikan seramai 477 pelajar menerima anugerah kecemerlangan akademik melibatkan keputusan 6A hingga 12A dalam peperiksaan SPM.

Beliau turut memaklumkan seramai 80 pelajar menunjukkan peningkatan prestasi selepas mengikuti program Tuisyen Madani percuma yang dilaksanakan di kawasan Parlimen Sepanggar.

“Tahun lepas hanya 12 orang tetapi tahun ini meningkat kepada 80 orang. Maknanya tuisyen percuma yang kita adakan ini semakin berkesan,” katanya.

Menurut beliau, program tuisyen itu akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah di kawasan sekitar bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Pada masa sama, beliau berkata pejabat Parlimen Sepanggar turut menyediakan insentif khas secara one-off kepada pelajar dari kawasan itu yang melanjutkan pengajian ke universiti awam, swasta atau institusi pendidikan lain.

Katanya, pelajar hanya perlu mengemukakan surat tawaran kemasukan serta nombor akaun kepada pejabat Parlimen Sepanggar bagi membolehkan bantuan disalurkan.