SANDAKAN: Tindakan membuat sambungan elektrik secara haram dan menggunakan bekalan elektrik secara curang membawa padah apabila tiga individu dijatuhi hukuman penjara sebulan, manakala enam lagi didenda berjumlah RM20,600 oleh Mahkamah Sesyen Sandakan.
Kesemua sembilan kes berkenaan diputuskan di hadapan Hakim Mohd Khushairy Ibrahim pada 18 November lalu atas kesalahan mengikut Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tiga individu yang dijatuhi hukuman penjara ialah Bilma Kasim, Norsan Dekeh dan Emeng Lajim.
Menurut ECoS, ketiga-tiganya didapati melakukan kesalahan mengikut subseksyen 61(3)(a) enakmen berkenaan membabitkan sambungan elektrik secara haram di penempatan setinggan Kampung Kagayan, Sandakan.
“Empat lagi individu turut didenda atas kesalahan sama, iaitu Nurita Anggongan dan Jeselna Jani masing-masing RM2,500, manakala Amil Maulana dan Alradzmil Jalseddik masing-masing RM2,800.
“Nurita dan Alradzmil yang merupakan pemegang dokumen IMM13 turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia di Sandakan untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Dalam dua kes berasingan, Chau Tsun Lun dan Chong Pui Yii masing-masing didenda RM5,000 mengikut subseksyen 61(3)(c) enakmen sama kerana menggunakan elektrik secara curang di kediaman masing-masing di Taman Astana Height, Sandakan.
Kesemua denda berjumlah RM20,600 itu telah dijelaskan, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ECoS, Nureen Natasha Mohd Raffie.
Sementara itu, ECoS menegaskan pihaknya memandang serius sebarang kesalahan berkaitan bekalan elektrik kerana perbuatan berkenaan bukan sahaja membahayakan keselamatan awam, malah boleh menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna lain.
Sehubungan itu, ECoS akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bekalan elektrik di Sabah.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sambungan elektrik secara haram, mengusik meter atau pepasangan elektrik serta menggunakan bekalan elektrik tanpa kebenaran.






