Dua Beradik Rentung Dalam Kebakaran Rumah di Tawau

Dua Beradik Rentung Dalam Kebakaran Rumah di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Ria, Lorong 11, di sini, awal pagi Jumaat.

Mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) autisme dan abangnya berusia 13 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.13 pagi sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat berkeluasan 20 x 30 kaki dengan anggaran kemusnahan sebanyak 70 peratus.

“Seramai enam individu berada di dalam rumah ketika kejadian, namun empat daripadanya berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Dua lagi mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan pada jam 6.43 pagi,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dan tiga pancutan air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.07 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.06 pagi.

Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).