KUALA LUMPUR – Hanya kenangan keriangan dapat diceritakan oleh pelawak Shuib Sepahtu yang mana pada September ini merupakan bulan yang sering ditunggu olehnya dan isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin untuk meraikan ulang tahun kelahiran mereka bersama-sama.
Shuib dilahirkan pada 12 September, manakala Siti Sarah pula 15 September, hanya berselang tiga hari tetapi pada tahun yang sama, 1984.
Menerusi hantarannya di Instagram, Shuib memuat naik gambar sambutan ulang tahun kelahiran pada hari ini yang diraikan oleh tiga anaknya.
“Tahun ini tiada sambutan hari lahir bersama, 12 September/ 15 September 1984. 37 tahun yang tersangat luar biasa untuk Shahmira Bin Muhamad. Alhamdulillah, syukur di atas segala rahmat dan nikmat,” tulisnya.

Memetik laporan Metro Online, difahamkan sambutan itu dibuat semalam ketika Shuib membawa keluarganya beriadah di sebuah kawasan rekreasi air terjun susulan Lembah Klang kini beralih ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.
Justeru, hantaran dibuat Shuib itu menerima lebih 300,000 tanda suka dari pengikutnya berserta ucapan ulang tahun daripada rakan-rakan artis seperti Elly Mazlein, Ajak Shiro, Sharif Zero, Zarul Umbrella dan ramai lagi.
Terdahulu, sebulan lalu Shuib kehilangan isteri tercintanya, penyanyi Siti Sarah yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM pada 9 Ogos lalu selepas ditidurkan dan sebelum itu selamat melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan pada 6 Ogos lalu.
Mereka berkahwin pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan terbaru, Ayash.