UMS Hasilkan Inovasi Ayam Pedaging Komersial ‘A-yamli’

UMS Hasilkan Inovasi Ayam Pedaging Komersial ‘A-yamli’

0
SHARE

PENAMPANG: Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menghasilkan satu projek Inovasi ayam pedaging komersial dinamakan sebagai ‘A-yamli’ yang diubah diet dengan menambah ekstrak Tongkat Ali.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Professor Ir Dr Rosalam Sarbatly berkata, pemakanan yang ditambah ekstrak Tongkat Ali itu bagi membolehkan kualiti daging yang dihasilkan lebih premium dan berbeza dari segi kualitinya.

Katanya, projek A-yamli merupakan sebuah penyelidikan yang dimulakan sejak 2011 dan telah menggunakan sebahagian dari Dana Geran Luar, Projek Penanaman Tongkat Ali.

Menurutnya, produk itu juga pernah dipertandingkan di Seoul International Invention Fair pada tahun 2013 dan telah memenangi pingat emas.

“Projek ini telah mengalami beberapa perubahan fasa, bermula dengan menggunakan daun Tongkat Ali sehingga kini menggunakan ekstrak Tongkat Ali. Perubahan ini dilakukan bagi memudahkan penternak dalam urusan penternakan ayam.

“Tujuan utama penggunaan Tongkat Ali dalam sebahagian diet makanan ayam pedaging adalah untuk memberi kesihatan yang lebih baik kepada ayam pedaging…

“Penggunaan Tongkat Ali telah mengurangkan kebergantungan kepada vaksin dan antibiotik. Menerusi kajian dan fasa pra pengkomersialan di lapangan, terbukti Tongkat Ali dapat mengurangkan kadar kematian ayam, reban yang kurang berbau dan kurang lalat serta ayam pedaging yang lebih aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Produk Ayam Premium ‘A-Yamli’ UMS di sini semalam.

Rosalam berkata, kesan positif yang diperolehi daripada penggunaan Tongkat Ali kepada ayam pedaging adalah isi atau daging ayam yang lebih pejal dan memberi rasa yang tersendiri manakala ujian juga menunjukkan kandungan protein lebih tinggi dan lemak yang kurang.

Katanya, semua ujian dan pra pengkomersialan ini telah dilakukan di Sabah dan juga di negara Brunei Darussalam.

“Hasil dari pra pengkomersialan ini yang akhirnya membawa kepada kolaborasi dengan pihak syarikat Petrogaya Sdn. Bhd. dan seterusnya pelancaran produk ayam premium A-yamli,” katanya.

Sementara itu, Rosalam berkata, kerjasama yang terjalin antara UMS dan syarikat yang berusaha untuk mengkomersialkan produk UMS telah banyak membantu UMS dalam ‘Key Result Area’ (KRA) menerusi penjanaan pendapatan yang diperoleh hasil daripada yuran perlesenan dan royalti.

Beliau turut percaya organisasi lain juga turut memberi penekanan yang sama kerana tanpa kewangan yang kukuh, ianya akan menghadapi masalah untuk terus bergerak ke hadapan.

“Kerjasama seperti ini mesti diteruskan malah perlu dipergiatkan lagi. Saya menyeru kepada Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) untuk terus proaktif dalam memberi sokongan penuh kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk mengkomersialkan produk UMS.

“Saya yakin hubungan yang dibangunkan ini akan membawa kepada pelbagai potensi baharu dalam pemulihan ekonomi yang berterusan dan pertumbuhan yang mampan.

“Sebagai hala tuju dan kelestarian, UMS akan terus memantau keberkesanan projek pengkomersialan ini melalui syarikat milikan penuh universiti iaitu UMS Investment Holdings Sdn Bhd,” katanya.

Tambahnya, usaha itu diharap akan dapat meneruskan lagi momentum pengkomersialan produk inovasi UMS di samping dapat menjana pendapatan kepada UMS dalam masa berpanjangan.