Agong Perkenan Tamat Darurat di Serian, Tapi Pemantauan Jerebu Diteruskan

Agong Perkenan Tamat Darurat di Serian, Tapi Pemantauan Jerebu Diteruskan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini memperkenankan penamatan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak, yang sebelum ini diisytiharkan susulan keadaan jerebu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memaklumkan, perkenan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri serta pandangan Premier Sarawak dan laporan daripada agensi berkaitan.

Menurut PMO, laporan berkenaan menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Bahagian Serian tidak lagi berada pada paras bahaya.

Bagaimanapun, keadaan jerebu di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya, dengan bacaan IPU di beberapa kawasan, khususnya Serian dan Samarahan, masih berada pada tahap amat tidak sihat.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak akan terus memantau keadaan dengan rapi,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Penduduk di kawasan terjejas turut dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.