KUALA LUMPUR – Bekas Ketua UMNO bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyatakan kesediaannya menyertai parti politik yang sudi menerimanya sebagai ahli biasa selepas tiga bulan dipecat UMNO.
Menurutnya, sudah tiba masanya beliau memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti.
“Sejak 1979, selama 43 tahun saya menjadi ahli parti politik tertentu dan berkhidmat kepadanya, sehinggalah saya dibuang dari parti itu Disember lalu.
“Sudah tiga bulan saya tidak berparti. Masa tersebut saya gunakan untuk bermuhasabah dan memerhatikan arus dan pola politik negara.
“Tiba masanya kini, untuk saya memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti, dengan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangan saya dan parti yang benar benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.
“Semoga ada parti yang sudi menerima saya untuk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka. Kepada Allah, saya berserah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook.
Pemecatan Annuar daripada UMNO, dibuat menerusi satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.





