KUALA LUMPUR – Altimet, dan barisan artis terkenal, Zizi Kirana, SAIXSE, dan Fahimi telah bergabung untuk melancarkan sebuah lagu berjudul “Anak Malaysia”.
Lagu dinamik baharu ini dijangka akan memberikan semangat dan sokongan kepada kontinjen Malaysia yang akan bertanding di Sukan Olimpik 2024 di Paris, di samping membakar dan menyemarakkan semangat “Jiwa Merdeka” sempena Hari Kebangsaan kita.
“Anak Malaysia” adalah hasil kolaborasi hebat yang digubah dan ditulis oleh Iqie Hugh, Mage, Fahimi, SAIXSE, dan Mambang.
“Penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menggubah lirik nukilan Altimet adalah satu inovasi yang menarik dengan menggabungkan teknologi dan seni dalam produksi muzik moden.
“Hasil campuran genre dan gaya yang menarik menjadikan lagu ini benar-benar mencerminkan semangat perpaduan dan tekad, serta mempamerkan jiwa semangat kebanggaan rakyat Malaysia.
“Lagu ini lebih daripada sekadar nyanyian; ia adalah panggilan semangat untuk atlet kita dan seluruh rakyat Malaysia. Tidak kira di mana kita berada dan apa jua yang kita lakukan, kita akan sentiasa berbangga menjadi ‘Anak Malaysia’,” kata Altimet.
“Kami mahu mencipta sesuatu yang bukan sahaja akan memberikan inspirasi kepada atlet kita tetapi juga bergema dan membangkitkan semangat ‘Jiwa Merdeka’ menjelang sambutan Hari Kebangsaan” tambah Mage, penerbit lagu tersebut.

SVLTAN Management dan Faithful Music, yang terkenal dengan pendekatan inovatif dalam pengurusan artis dan produksi muzik telah bekerjasama dengan Universal Music Malaysia untuk pengedaran lagu ini, menekankan komitmen mereka dalam menyokong bakat tempatan dan menyumbang kepada semangat kebangsaan.
“Kami berharap ‘Anak Malaysia’ akan menjadi sumber kekuatan untuk atlet kita ketika mereka bertanding di Paris, dan inspirasi untuk kita semua yang menyokong dari tanah air,” kata Zizi Kirana.
Lagu bertenaga simbol kebanggaan dan perpaduan negara ini bakal dilancarkan di semua platform penstriman digital utama mulai 26 Julai, manakala video muzik (diarahkan oleh Fareez Nasir), akan dilancarkan pada hari yang sama pada jam 12 tengah hari di saluran YouTube Faithful Music (youtube.com/@faithfulmusicmy).