KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di Bilik Danum, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, Ketua Menteri merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atas keprihatinan kementerian tersebut kerana telah menyumbang sebanyak RM200,000 untuk membantu mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.
Sumbangan itu dilaksana menerusi agensi di bawah kementeriannya, iaitu Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan KPWKM menyerahkan sumbangan bantuan untuk membantu mangsa kebakaran di Sandakan,” katanya.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Ag Shaminan Ag Sahari; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson; serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron.






