KOTA KINABALU: Sistem perniagaan pertukaran barang atau ‘barter trade’ adalah salah satu potensi yang mampu mengangkat semula ekonomi di Sandakan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Musa.
Katanya, perniagaan itu bukan sahaja berupaya mengangkat ekonomi tetapi mampu menarik pelabur untuk ke daerah itu.
“Apabila ini berlaku, impaknya bukan sahaja kepada daerah Sandakan tetapi juga kepada negeri ini. Oleh itu, saya memohon agar kerajaan dapat membantu memperkasakan perniagaan ini yang sebenarnya mempunyai potensi terbaik untuk membangun dan memajukan ekonomi Sandakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 di sini, hari ini.
Tambah Hazem, kerajaan boleh meletakkan syarat di mana pengusaha yang melaksanakan perniagaan ini harus bertapak di Sandakan.
“Perniagaan itu wajar tertumpu di kawasan ini bagi membantu membangunkan Sandakan Industrial Park dan pada masa yang sama kerajaan dapat mengawasi pernaigaan tersebut,” katanya.






