Persembahan Masakan Pelbagai Etnik 16 September Depan

Persembahan Masakan Pelbagai Etnik 16 September Depan

0
SHARE
Norlidah
Toh puan (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada Rosnaini (tiga kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pertubuhan Perpaduan Etnik Tawau (PPET) bakal mengadakan persembahan masakan pelbagai etnik pada 16 September depan.

Pengerusinya, Rosnaini Herman berkata program bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia itu akan dirasmikan oleh ADUN Balung, Hamild @ Hamid Awang di sekitar Tawau dan pihaknya yakin program tersebut mampu menarik minat ramai peserta dan pengunjung.

“Pada 16 September ni, kami akan mengadakan satu program besar di Tawau iaitu Persembahan masakan pelbagai etnik yang kami jangka akan mendapat sambutan menggalakkan dari orang ramai memandangkan banyaknya suku kaum yang ada di Sabah ini.

“Pada penghujung tahun ini, kami akan mengadakan majlis perasmian dan pelancaran PPET, diharapkan pertubuhan ini akan terus maju memperkenalkan budaya etnik dan menyantuni masyarakat,” ujarnya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Menurut Rosnaini, PPET merupakan badan yang mengumpulkan ahli dari pelbagai etnik di Sabah untuk bersama-sama bergerak memperkenal budaya yang ada dalam etnik itu sendiri, selain membantu mempertingkatkan taraf sosioekonomi ahli yang memerlukan.

“Kunjungan kami hari ini bertujuan memperkenalkan senarai Ahli Jawatankuasa PPET yang ditubuhkan sejak Januari 2023 lepas dan setakat ini sudah mempunyai lebih 100 ahli berdaftar terdiri dari pelbagai suku kaum dan kami mengharapkan agar lebih ramai yang akan mendaftar selepas ini.

“Kita turut memaklumkan kepada Toh Puan berkenaan program-program yang telah kami laksanakan sebelum ini antaranya, membuat kunjungan ke Rumah Warga Tua juga anak-anak istimewa dan menyantuni penghuni nya dengan mengadakan aktiviti makan malam serta menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka,” jelasnya di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Turut hadir, Penasihat PPET, Kadir Ajak, Timbalan Pengerusi PPET, Melinah Bustaman dan Setiausaha PPET, Azlinna Hamron. — JABATAN PENERANGAN SABAH