Piala Dunia 2022: Korea Selatan Mara Ke Pusingan 16 Terakhir Selepas Tewaskan...

Piala Dunia 2022: Korea Selatan Mara Ke Pusingan 16 Terakhir Selepas Tewaskan Portugal

0
SHARE
Pemain Korea Selatan meraikan kejayaan menewaskan Portugal sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik...(Sumber Foto: EPA)

AL RAYYAN – Korea Selatan mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia sebagai naib juara Kumpulan H selepas mencatatkan kemenangan secara dramatik awal pagi tadi menewaskan Portugal 2-1

Portugal yang terdahulu sudah mengesahkan tempat di pusingan 16 terakhir, hanya memerlukan keputusan seri untuk bergelar juara kumpulan.

Ricardo Horta meletakkan Portugal di depan seawal minit kelima selepas mendapat hantara Diogo Dalot.

Korea Selatan yang memerlukan kemenangan besar untuk berpeluang layak ke pusingan kalah mati, menyamakan kedudukan menerusi Kim Young-gwon pada minit ke-27.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat tempoh permainan sebenar dan Korea Selatan yang di ambang penyingkiran, tidak berputus asa untuk mencari kemenangan.

Usaha Korea Selatan akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang Son Heung-min melakukan gerakan dalam masa kecederaan dan lorongannya disempurnakan Kwang Heechan untuk gol kemenangan.

Kapten Korea Selatan Son Heung-min menangis kegembiraan selepas pasukannya menewaskan Portugal 2-1 sekali gus layak ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia…(Sumber Foto: AFP)

Bagaimanapun Korea Selatan terpaksa menunggu perlawanan antara Uruguay dan Ghana tamat terlebih dahulu sebelum dapat mengesahkan kedudukan sebagai naib juara kumpulan.

Uruguay menewaskan Ghana 2-0 dan mengumpul empat mata bersama Korea Selatan, namun dibezakan jumlah jaringan.

Kemenangan itu meletakkan Uruguay di tangga ketiga dengan empat mata, terikat bersama Korea Selatan yang mengatasi mereka dengan jumlah jaringan gol selepas menjaringkan gol kemenangan lewat permainan untuk menang 2-1 ke atas Portugal.

Ghana di tangga tercorot dengan tiga mata.