SEOUL: Seorang rakyat Malaysia maut selepas dipercayai ditikam dalam satu pergaduhan berkumpulan membabitkan warga asing di Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan, pada awal pagi Ahad.
Menurut laporan Korea JoongAng Daily, susulan kejadian itu polis menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an yang disyaki terbabit dalam kes bunuh serta beberapa kesalahan lain.
Balai Polis Eumseong memaklumkan suspek dipercayai menikam mangsa yang berusia lingkungan 20-an menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di sebuah jalan di Daeso-eup, kira-kira jam 3 pagi.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika dua kumpulan yang masing-masing disertai suspek dan mangsa terlibat dalam pergaduhan besar di lokasi berkenaan.
Kira-kira 10 individu dipercayai terbabit dalam insiden itu.
Ketika pergaduhan, suspek didakwa mengeluarkan pisau sebelum menikam mangsa, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia.
Seorang lagi individu turut cedera dalam kejadian itu dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Selepas kejadian, suspek melarikan diri ke sebuah kediaman berhampiran, namun berjaya diberkas polis kira-kira sejam kemudian.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan dengan mengambil keterangan daripada suspek serta individu lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.






