Sentuhan Batik Malaysia ‘Mendonia’, Warnai Spider-Man di Amerika Syarikat

Sentuhan Batik Malaysia ‘Mendonia’, Warnai Spider-Man di Amerika Syarikat

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Siapa sangka seni batik yang cukup sinonim dengan warisan dan identiti Malaysia kini ‘berayun’ bersama Spider-Man hingga ke Amerika Syarikat apabila karya pelukis visual tempatan, Arif Rafhan Othman, dipilih sebagai poster edisi terhad bagi tayangan filem adiwira popular itu.

Pencapaian tersebut bukan sahaja mencuri perhatian peminat antarabangsa, malah menjadi satu lagi bukti bahawa sentuhan seni tempatan mampu menembusi pasaran global apabila diberi ruang dan pentas yang tepat.

Memetik laporan The Vocket, karya Arif mengetengahkan elemen batik pada visual Spider-Man, menghasilkan gabungan unik antara ikon budaya popular Barat dengan identiti seni tradisional Malaysia.

Poster berkenaan dilaporkan diedarkan secara percuma di pawagam terpilih di Amerika Syarikat, sekali gus menarik perhatian peminat dan pengumpul memorabilia Spider-Man di negara itu.

Menerusi perkongsian di media sosial, Arif meluahkan keterujaannya apabila mula menerima mesej peribadi daripada peminat luar negara yang menunjukkan poster berkenaan selepas berjaya mendapatkannya.

Lebih menarik, di sebalik keterujaan melihat hasil tangannya berada di tangan peminat antarabangsa, pelukis berkenaan sendiri berdepan kesukaran untuk mendapatkan poster tersebut.

Menurut laporan The Vocket, ketika ditanya seorang peminat dari Singapura mengenai cara mendapatkan poster itu, Arif secara berseloroh menjelaskan ia hanya dikeluarkan untuk pasaran Amerika Syarikat.

“Khusus untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja bro. Saya sendiri pun tak dapat,” katanya seperti dipetik menerusi ruangan komen media sosial.

Pencapaian Arif bagaimanapun tidak terhenti di Amerika Syarikat apabila ia turut mendapat perhatian Golden Screen Cinemas (GSC) Malaysia.

Sebagai meraikan kejayaan bakat tempatan itu, GSC menganjurkan peraduan khas dengan menawarkan lima poster berbingkai eksklusif hasil rekaan Arif kepada peminat bertuah di Malaysia.

Peluang itu mendapat sambutan peminat tempatan, khususnya mereka yang sebelum ini hanya dapat melihat karya berkenaan menerusi perkongsian peminat dari Amerika Syarikat.

Pada masa sama, ruangan komen media sosial turut dibanjiri ucapan tahniah dan rasa bangga terhadap pencapaian Arif.

Antara reaksi yang mendapat perhatian ialah ungkapan “Mendonia!” selain seruan supaya pencapaian anak tempatan seperti Arif diberikan pengiktirafan sewajarnya.

Lebih daripada sekadar menghasilkan sebuah poster filem, kejayaan Arif memperlihatkan bagaimana elemen tradisi seperti batik boleh diberikan nafas kontemporari tanpa kehilangan identitinya.

Gabungan antara seni warisan Malaysia dengan watak ikonik dunia seperti Spider-Man juga memperlihatkan bahawa bahasa visual tempatan mempunyai potensi untuk merentasi sempadan budaya dan diterima khalayak antarabangsa.

Pencapaian itu sekali gus menjadi satu kebanggaan buat industri seni visual negara serta membuktikan bahawa identiti Malaysia mampu berdiri sebaris dengan karya kreatif antarabangsa.