KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, esok, berhubung dakwaan mencederakan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, bulan lalu.
Memetik laporan Berita Harian, sumber memaklumkan Mohd Shuhaily dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian pada 28 September lalu.
Terdahulu, pada 17 Oktober, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memulangkan kertas siasatan kes berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, AGC meminta beberapa penambahbaikan dilakukan terhadap kertas siasatan sebelum sebarang keputusan mengenai tindakan lanjut dibuat.
“Polis masih melengkapkan siasatan. AGC memaklumkan ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan terhadap kertas siasatan itu.
“Kertas siasatan itu mengandungi kenyataan yang dirakam daripada saksi dan semua maklumat yang dikumpulkan sepanjang siasatan sebelum diserahkan kepada AGC.
“AGC perlu berpuas hati sepenuhnya dengan hasil siasatan sebelum membuat keputusan. Biasanya jika tidak berpuas hati, AGC akan memulangkan kertas siasatan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, Saifuddin Nasution berkata, polis telah diarahkan melengkapkan siasatan mengikut keperluan yang ditetapkan AGC.






