Tinju Berpotensi Diperluas ke Sekolah Bina Generasi Lebih Berdisiplin – Nizam

Tinju Berpotensi Diperluas ke Sekolah Bina Generasi Lebih Berdisiplin – Nizam

0
SHARE

PUTATAN: Kerajaan negeri akan meneliti cadangan memperkenalkan sukan tinju di sekolah sebagai usaha melahirkan generasi muda yang lebih berdisiplin, mampu mengawal emosi serta menjauhkan diri daripada gejala buli, di samping mencungkil bakat atlet sejak usia muda.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sukan tinju bukan sekadar melahirkan atlet berprestasi, malah menjadi medium pembentukan sahsiah dan jati diri belia.

Kita akan cuba melihat daripada sudut ini untuk memperkenalkan sukan ini kepada sekolah-sekolah di peringkat lebih muda lagi supaya sukan ini bukan sahaja boleh menjadikan kita seorang atlet yang berjaya, tetapi ia juga sebenarnya boleh menjana pendapatan kepada seseorang individu yang menceburkan diri dalam bidang tinju ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Tinju Profesional BAM Championship di Putatan, pada Jumaat.

Mengulas peranan sukan itu dalam pembangunan belia, Nizam berkata latihan tinju mampu mendidik golongan muda mengawal emosi dengan lebih baik, sekali gus membantu membendung budaya buli.

“Tinju merupakan salah satu sukan yang boleh mendidik jiwa kita supaya dapat mengurus emosi dengan lebih baik dan lebih teratur. Sudah semestinya ia akan mengelakkan diri kita daripada perkara-perkara seperti buli dan sebagainya. Di samping itu, kemahiran seni bela diri ini juga menjadi satu bentuk pertahanan diri supaya kita tidak mudah dibuli,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan sukan tinju profesional turut membuka peluang kepada belia menjadikan sukan itu sebagai kerjaya yang mampu menjana pendapatan, terutama melalui penyertaan dalam kejohanan dan pembinaan jenama peribadi menerusi platform digital.

Dalam pada itu, Nizam menyifatkan penganjuran BAM Championship sebagai satu langkah positif dalam memperkukuh pembangunan sukan tinju di Sabah apabila berjaya menghimpunkan petinju dari seluruh negeri, luar Sabah serta penyertaan antarabangsa termasuk dari India.

Katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong penganjuran kejohanan seumpama itu bagi membuka lebih banyak peluang kepada atlet tempatan mengasah bakat sehingga mampu bersaing di pentas profesional dan antarabangsa.

Pada kejohanan itu, bekas juara kebangsaan dan bekas wakil Sabah di Sukan Malaysia, Azman Iskandar Siau, muncul sebagai penerima tali pinggang kejuaraan sulung BAM Championship, sekali gus melakar sejarah sebagai juara pertama kejohanan tinju profesional berkenaan.