PENAMPANG: Polis Daerah Penampang membuka kertas siasatan berhubung penyebaran infografik palsu bertajuk “Laporan Tangkapan Kes Khianat” yang menggunakan identiti Polis Diraja Malaysia (PDRM), sambil memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit menghasilkan atau menyebarkan kandungan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, infografik yang tular di pelbagai platform media sosial sejak Jumaat disahkan palsu, tidak sahih dan bukan dikeluarkan oleh PDRM.
Beliau berkata, kandungan itu menggunakan logo rasmi PDRM, format penyampaian menyerupai kenyataan rasmi polis serta memaparkan gambar dan maklumat individu tanpa kebenaran dengan tujuan mengelirukan orang ramai.
“Infografik tersebut adalah palsu, tidak sahih dan bukan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia. Perbuatan menghasilkan, memiliki, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan sedemikian merupakan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan integriti PDRM, mengganggu ketenteraman awam serta mencemarkan nama baik individu yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, selain membuka kertas siasatan, pihaknya turut menegaskan mana-mana individu yang didapati terbabit dalam penerbitan atau penyebaran infografik berkenaan boleh disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, siasatan boleh dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi penyebaran kandungan palsu atau jelik.
Tambah beliau, sekiranya penyebaran itu melibatkan gambar, identiti atau maklumat kanak-kanak yang dilindungi, tindakan juga boleh diambil mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadi ejen penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya serta hanya mendapatkan maklumat berkaitan siasatan atau tindakan polis melalui saluran komunikasi rasmi PDRM.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang menghasilkan atau menyebarkan infografik palsu berkenaan supaya tampil menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bagi membantu siasatan.






