Lelaki Maut Dibaham Buaya Ketika Cuci Bot di Kinabatangan

Lelaki Maut Dibaham Buaya Ketika Cuci Bot di Kinabatangan

0
SHARE

KINABATANGAN: Seorang lelaki hari ini ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai dibaham seekor buaya ketika menjalankan aktiviti mencuci bot bersama anaknya di Kampung Batu Putih, di sini, petang semalam.

Mangsa, Rusli Mardin, 57, dilaporkan hilang selepas disambar reptilia berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 6.31 petang, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Suriyadi Darwis berkata, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan mangsa dipercayai dibaham buaya ketika mencuci bot. Operasi SAR segera dijalankan menggunakan kaedah water surface searching, namun keadaan yang semakin gelap menyukarkan pencarian dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 8.45 malam sebelum disambung semula keesokan harinya (hari ini),” katanya.

Beliau berkata, pada hari kedua operasi, pihak bomba menerima maklumat pada jam 4.45 pagi bahawa mangsa telah ditemukan oleh orang awam kira-kira 500 meter ke hilir sungai dari lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati anggota badan mangsa masih lengkap, namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan.

“Pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa dari tebing sungai ke rumah mangsa sebelum mayat disahkan meninggal dunia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang turut dibantu empat anggota PDRM dan lima anggota RELA itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi keperluan operasi dan kawasan berada dalam keadaan selamat.