TAWAU: Seorang lelaki warga tempatan berusia 66 tahun ditahan polis kerana disyaki merogol seorang individu orang kurang upaya (OKU) yang menghidap Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) dalam satu operasi di Kampung Ranggu, Batu 10, Jalan Apas, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, suspek diberkas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selepas siasatan dijalankan berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, siasatan bermula selepas seorang pengadu membuat laporan polis apabila dimaklumkan oleh anak angkatnya bahawa mangsa mengalami kesakitan pada tubuh badan.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa dipercayai menjadi mangsa rogol. Mangsa juga merupakan seorang individu OKU yang menghidap ADHD,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh membawa kepada penahanan suspek dalam operasi yang dijalankan oleh BSJ IPD Tawau.
Katanya, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan, termasuk sehelai baju-T berkolar, seluar jeans, topi serta beberapa barangan lain.
Wilynton berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan selanjutnya diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain menghormati privasi mangsa serta keluarganya.






