SABAR Gesa Tindakan Tegas Terhadap “Republic of Sabah North Borneo”

SABAR Gesa Tindakan Tegas Terhadap “Republic of Sabah North Borneo”

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) Semenanjung Malaysia menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang mengisytiharkan penubuhan entiti tidak sah dikenali sebagai “Republic of Sabah North Borneo”.

Pengerusinya, Muhammad Faisal Mohamad Mohidin berkata, gerakan itu tidak mempunyai asas undang-undang antarabangsa, tidak diiktiraf mana-mana negara serta tidak mewakili suara majoriti rakyat Sabah.

Perjuangan hak-hak Sabah mesti sentiasa berpaksikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kedaulatan undang-undang, bukannya melalui tindakan provokasi atau pengisytiharan tidak sah di platform digital,” katanya.

Beliau berkata kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia terbentuk melalui proses perundangan sah menerusi MA63 yang melibatkan rundingan rasmi serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Apa yang diisytiharkan hanyalah sebuah gerakan tanpa wilayah, tanpa pengiktirafan diplomatik dan tanpa sebarang kuasa pemerintahan yang sah menurut undang-undang antarabangsa,” katanya.

Faisal berkata tindakan berkenaan berpotensi menimbulkan kekeliruan, menggugat keharmonian rakyat serta menjejaskan keyakinan terhadap usaha pembangunan negeri.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyokong, menyebarkan atau mempromosikan gerakan tersebut.

“Rakyat Sabah perlu terus bersatu mempertahankan hak-hak Sabah melalui pendekatan yang sah, berperlembagaan dan selaras dengan semangat MA63,” katanya.