Bapa Celaka!!! ‘Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi’

Bapa Celaka!!! ‘Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi’

0
SHARE

BANDAR SERI BEGAWAN – Seorang bapa kandung yang sanggup mencabul kehormatan dua anak perempuannya menerima akibatnya, kelmarin, apabila dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan empat sebatan oleh Mahkamah Perantaraan, di sini.

Memetik laporan Brunei News, bapa berusia 41 tahun yang diibaratkan ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ itu mengaku bersalah atas enam tuduhan kerana melakukan cabul terhadap dua anaknya dalam kejadian berasingan.

Hukuman terhadap tertuduh yang namanya tidak dapat didedahkan itu, dijatuhkan oleh Hakim Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain.

Tertuduh yang merupakan bekas tentera mempunyai empat orang anak, yang mana mangsa X adalah anak kedua dan mangsa Y adalah anak pertama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh sekitar 2014, 2015, 2016 dan Oktober 2017 mengambil kesempatan untuk mencabul kehormatan mangsa X di kediaman mereka ketika isterinya (ibu mangsa) keluar bekerja atau berada di tingkat atas.

Dia mula melakukan ‘perbuatan tidak senonoh’ terhadap mangsa X yang ketika itu baru berusia 12 tahun.

Mangsa yang takut akan amaran tertuduh supaya tidak memberitahu sesiapa hanya mampu mendiamkan diri.

Tertuduh turut melakukan perbuatan kejinya itu terhadap mangsa Y yang berusia 13 tahun pada 2014 di rumah mereka dan pada 2015, ketika dalam perjalanan melancong ke negara jiran.

Perbuatan terkutuk tertuduh itu terbongkar apabila mangsa X memberitahu rakan sekolahnya, yang kemudian melaporkan perkara itu kepada timbalan pengetua sekolah.

Laporan polis dibuat pihak sekolah pada 20 Oktober 2017 dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak.

Tertuduh mengaku mencabul kehormatan kedua-dua anaknya semata-mata untuk memuaskan nafsunya. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman.