PUTRAJAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menasihatkan Ketua Pejuang dan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan agar tidak menjadikan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai `kambing hitam’ atau modal politik.
Memetik sumber Harian Metro, Presiden MCW Jais Abdul Karim berkata demikian dalam menyelar kenyataan Khairuddin yang mempertikaikan integriti dan prinsip perkhidmatan pegawai kanan SPRM.
Disamping itu, Jais menyifatkan kenyataan Khairuddin terlalu bersifat peribadi yang hanya menyalahkan sesuatu pihak sahaja.
“Beliau sendiri (Khairuddin) pernah hadir ke SPRM untuk membuat aduan namun disebabkan kehendak politik mereka tidak dapat dipenuhi kerana tiada merit maka mereka sanggup membuat kenyataan seperti ini.
“MCW dan seluruh rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa GTA yang kalah teruk dalam PRU-15 baru-baru ini sudah tiada modal politik selain cuba membangkitkan rasa marah kepada kerajaan baharu dengan menjadikan SPRM `kambing hitam’,”katanya.
Menurutnya, kejayaan kes SRC berakhir dengan Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah sewaktu UMNO memerintah di mana Perdana Menteri pada ketika itu adalah Datuk Seri Ismail Sabri.
“Kejayaan ini adalah berasaskan kepada siasatan SPRM yang dilaksanakan sejak 2015 dan berjaya mendapatkan bukti kukuh kepada kes.
“Adalah tidak munasabah hujah GTA yang mengatakan pihak SPRM tidak berintegriti dan hanya menyokong kerajaan yang memerintah. GTA menyarankan SPRM perlu ada rombakan besar.
“Sekiranya mereka tidak ada keyakinan dengan SPRM di bawah pimpinan Tan Sri Azam Baki namun mengapakah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan kepada SPRM berkaitan isu 1MDB dan terkini kes berkaitan tanah Kampung Baru,” katanya.
Sehubungan dengan itu, MCW menyeru semua pihak dalam negara untuk berhenti berpolitik dan memberi peluang kepada kerajaan baharu membuat segala perubahan diharapkan.