
DOHA, QATAR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menzahirkan ucapan setinggi-setinggi tahniah kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron atas kejayaan pasukan bola sepak Perancis melayakkan diri perlawanan akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosial rasmi Istana Negara semalam, Seri Paduka Baginda telah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022 antara Perancis dan Maghribi di Stadium Al Bayt, Doha.
Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut yang memihak kepada Perancis dengan keputusan 2 – 0, Emmanuel Macron.
Seri Paduka Baginda kini dalam rangka lawatan khas ke Qatar selama enam hari bermula pada 13 Disember 2022.
Lawatan khas ini adalah atas persilaan peribadi Yang Mulia Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sempena temasya bola sepak Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
Seri Paduka turut dijadualkan menerima menghadap beberapa pemimpin Kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar dalam rangka lawatan khas ini.
Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat tiba di tanah air pada 19 Disember 2022.