Empat Pemancing Diselamatkan Maritim Malaysia

Empat Pemancing Diselamatkan Maritim Malaysia

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menyelamatkan empat pemancing yang terkandas di laut akibat bot terbalik di perairan Pulau Manukan, pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang mangsa sekitar jam 11.20 pagi yang memaklumkan bahawa bot yang dinaiki bersama tiga lagi rakannya telah terbalik di posisi 0.03 batu nautika barat Pulau Manukan.

Bertindak atas maklumat tersebut, bot peronda Penggalang 21 dari Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah diatur gerak ke lokasi.

“Menurut pengadu, beliau bersama tiga lagi rakannya sedang melakukan aktiviti memancing di kawasan Pulau Manukan pagi semalam sebelum bot yang mereka naiki mengalami kebocoran setelah melanggar batu.

“Sejurus tiba di lokasi, keempat-empat mangsa sedang bepaut pada batu di persisir pantai pulau tersebut.

“Kesemua mangsa seterusnya diselamatkan dan dibawa ke jeti Jesselton Point, Kota Kinabalu untuk bantuan rawatan,” katanya.

Beliau menjelaskan, mangsa Azmain bin Nulhassan (23), Al Asim bin Nasir (23), Mohammad Fikhri bin Amri (22) dan Muhammad Aqil bin Abu Bakar (22) hanya mengalami kecederaan ringan.

“Justeru itu, Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim untuk terus meningkatkan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut seperti peka dengan keadaan cuaca semasa, memakai jaket keselamatan, pastikan keadaan bot dalam keadaan baik dan membawa alat pengesan lokasi (PLB) serta maklumkan kepada kaum keluarga atau sahabat yang lain lokasi dan tujuan kita dilaut,” katanya.