SANDAKAN: Dua orang dilaporkan mengalami cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terjunam dari cerun setinggi kira-kira 300 kaki berhampiran Tokong Puu Jih Shih, Jalan Cecily, Sandakan pagi kelmarin.
Menurut kenyataan rasmi dari Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.55 pagi melalui MERS999.
Sebuah jentera FRT dan sebuah unit EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dengan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 9.08 pagi.
Pegawai Operasi, PBK I Rosemidian Majid memaklumkan bahawa kenderaan jenis Toyota Land Cruiser dipercayai hilang kawalan ketika pemandunya cuba meletakkan kenderaan, sebelum terjatuh dari tebing cerun setinggi 300 kaki.
“Pasukan bomba bertindak pantas menjalankan operasi menyelamat dengan mengeluarkan kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan ringan. Seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan di bahagian pinggul belakang, manakala seorang wanita dewasa cedera ringan di tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan lanjut.
Turut membantu dalam operasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua pegawai perubatan KKM.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.20 pagi setelah pasukan penyelamat memastikan tiada lagi bahaya di kawasan kejadian.
Pihak JBPM menasihatkan orang awam agar lebih berhati-hati terutamanya ketika berada di kawasan berbukit yang mempunyai cerun curam bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.






