TUARAN, SABAH – Seramai 10 orang kakitangan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, di Tuaran, hari ini.
Kunjungan diketuai Pengarah IPG Kampus Kent, Dr. Hajah Rosmawati Hamzah itu, turut diiringi Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun (BKD) Linah Bagu, Ketua Jabatan Kecemerlangan Akademik, Ustaz Haji Harun Haji Sarail, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Amidy Malagob, Ketua Jabatan STEM, Dr. Ronald Yusri Bathing, Penolong Ketua Jabatan BKD, John Gitom, Setiausaha Jabatan BKD, Dr. Wilfred Dousip, Victor Baga, Dr. Bayre Suadik dan Claire Leslie Sylvester.
Tujuan kunjungan hormat diadakan adalah bagi memperkenalkan kewujudan Jabatan BKD sebagai peneraju utama Bahasa Kadazandusun di kampus berkenaan yang merupakan Tier 1 di seluruh IPG di Malaysia.
Dalam taklimatnya, Linah Bagu menerangkan secara terperinci mengenai aktiviti-aktiviti Jabatan BKD yang telah dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2022.
Antaranya adalah Pesta Kaamatan (Moginakan) pada 27 Mei 2022 di Dewan Perhimpunan IPGK Kent 2022.
Menurutnya, Pesta Kaamatan pada kali ini agak unik kerana lebih memfokuskan kepada ‘Moginakan’ atau ‘makan bersama keluarga besar’ warga Kampus Kent sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan atas rezeki yang dilimpahkan dalam pelbagai bentuk.
“Moginakan Kaamatan juga turut meraikan bersama sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai aktiviti disediakan sebagai pengisian, antaranya pertandingan permainan tradisional seperti Momolositik, Monopuk dan Mamarampanau.
Selain itu, turut diadakan pertandingan Sugandoi, peragaan pakaian tradisi, pertandingan gerai makanan dan pameran kearifan lokal.
Seramai 250 orang dalam kalangan pensyarah, kakitangan, pelajar, tetamu luar dan jemputan khas warga IPGK dan tetamu sekitar daerah Tuaran dijangka hadir meraikan Pesta Kaamatan tersebut, yang akan dirasmikan oleh Jahid, yang juga Naib Presiden KDCA Sabah.





