KOTA KINABALU, SABAH – Penantian lebih setahun setengah tamat bagi Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) apabila secara rasminya menjadi sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mengumumkan perkara itu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, keputusan diambil berikutan persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS hari ini.
Katanya, USNO salah satu daripada beberapa parti yang memanjangkan hasrat bagi menyertai GRS. Parti USNO telah memohon untuk menyertai GRS pada bulan Januari 2021.
“Kita ada menerima permohonan daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan juga Parti Cinta Sabah (PCS) dan ianya masih dalam pertimbangan yang sewajarnya…
“Kita amat menghargai permohonan mereka untuk menyertai GRS namun kita secara konsensus berpendapat kita memerlukan sedikit masa untuk berinteraksi dan mempertingkatkan lagi persefahaman,” katanya.
Ketua Menteri Sabah itu berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Menara Kinabalu petang tadi.
Bagaimanapun, parti-parti tersebut tidak akan diabaikan malah disertakan dalam program dan aktiviti yang diadakan GRS termasuk majlis pelancaran GRS pada 26 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“Ini sebagai tanda penghargaan bagi hasrat mereka untuk menyertai GRS. Kita amat menghargai keinginan mereka tetapi kita juga perlu masa sedikit kerana permohonan mereka juga baru disampaikan kepada saya sebulan dua yang lalu,” tambahnya.
Menurut beiau, menerusi pelancaran parti atau gabungan itu secara rasminya menandakan permulaan era baharu politik di negeri Sabah.
“Kita akan tonjolkan kepada rakyat, untuk kepentingan negeri Sabah, dan untuk bersama-sama mentadbir dan juga memajukan Sabah pada masa akan datang,” katanya.
GRS diasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).





