KUDAT, SABAH – Seramai 66 orang pelajar cemerlang SPM 2021 daripada empat sekolah menengah di Daerah Kecil Matunggong menerima insentif kecemerlangan dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Mini, Pejabat Daerah Kecil Matunggong, di sini, kelmarin.
Mereka merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matunggong, SMK Pinawantai, SMK Sikuati dan SMK Sikuati 2…
Para penerima insentif kecemerlangan ini telah mendapat sekurang-kurangnya 5A, di mana setiap A yang diperoleh akan menerima RM100.
Daripada 66 pelajar ini, seorang pelajar yang mendapat 9A, lima pelajar mendapat 8A, lima pelajar 7A, 10 pelajar mendapat 6A dan selebihnya mendapat 5A.
Bilangan pelajar cemerlang SPM tahun ini di daerah kecil ini lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Mengucapkan syabas dan tahniah kepada para penerima, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki yang menyampaikan insentif itu berkata, insentif tersebut adalah sebagai galakan kepada pelajar cemerlang ini supaya kekal cemerlang di peringkat seterusnya selain sebagai cabaran kepada pelajar yang akan menduduki SPM.
Beliau berharap, insentif berbentuk wang tunai yang mereka perolehi itu dapat membantu meringankan perbelanjaan untuk meneruskan persekolahan di peringkat yang lebih tinggi.
Beliau juga menasihati para pelajar agar menghormati ‘kebebasan’ yang ada di tangan semasa memulakan bab baru dalam kehidupan sebagai pelajar di institusi pendidikan.
“Ia adalah tanggungjawab yang berkait langsung dengan kejayaan pelajar, ibubapa dan masyarakat pada masa akan datang,” katanya…
Pemberian insentif ini adalah kali yang kedua diadakan sejak Julita diangkat sebagai Wakil Rakyat Matunggong pada September 2020 yang lepas. Program ini turut mendapat sokongan dan bantuan dana daripada YB Ahli Parlimen P168 Kota Marudu Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat berkata, pemberian insentif seumpama ini adalah sesuatu yang sangat penting demi menghasilkan modal insan yang cemerlang dan berniat untuk meneruskan program ini selagi mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.
Program ini juga adalah sebahagian daripada manifesto pilihan raya beliau dahulu iaitu ‘Memperkasa Inisiatif Meningkatkan Pencapaian Akademik Anak-Anak Matunggong’.