4,721 Pelajar Lanjutkan Pengajian Ke UMS

4,721 Pelajar Lanjutkan Pengajian Ke UMS

0
SHARE
Kasim
Kasim meninjau sekitar sesi pendaftaran pelajar UMS ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 4,721 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi 2023/2024 yang mula mendaftar pada 30 September dan 1 Oktober ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, jumlah tersebut melibatkan 3,869 pelajar di UMS Kampus Kota Kinabalu, 661 pelajar di UMS Kampus Antarabangsa Labuan, dan 191 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.

“Jumlah ini merangkumi 3,108 pelajar dari Sabah, 1,012 dari Semenanjung Malaysia, 513 dari Sarawak, dan 65 dari Wilayah Persekutuan Labuan.

“22 pelajar selebihnya merupakan pelajar antarabangsa dari sembilan buah negara, iaitu 10 pelajar dari China, masing-masing tiga orang pelajar Jepun, dan Indonesia, manakala setiap seorang pelajar dari negara Bangladesh, India, Republik Yemen, Korea Selatan, Lebanon dan Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan pendaftaran pelajar di sini, semalam.

Kasim turut memaklumkan, berdasarkan statistik tersebut, sejumlah 1,566 orang atau 33 peratus adalah pelajar lelaki, manakan 3,155 orang atau 67 peratus merupakan pelajar perempuan.

“Pengambilan pelajar turut merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UMS iaitu sebanyak 2,620 bagi pelajar B40 ambilan UPUonline, 15 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), lapan atlet sukan, dan 10 orang asli.

“68 program prasiswazah ditawarkan pada sesi ini, iaitu 34 program aliran sains dan 34 program aliran sastera di 12 buah fakulti dan satu akademi di UMS,” katanya.

Kesemua pelajar baharu akan mengikuti program Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 4 Oktober sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri dalam suasana kehidupan kampus.