KOTA KINABALU: Polis Sabah menawarkan diskaun 50 peratus bagi pembayaran saman trafik terpilih selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Ogos ini, sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia 2025.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pembayaran boleh dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu dari jam 9 pagi hingga 4 petang sepanjang tempoh berkenaan.
“Orang ramai digalakkan merebut peluang ini untuk melangsaikan saman tertunggak dengan kadar yang lebih rendah.
“Inisiatif ini adalah sebahagian usaha mendekatkan polis dengan masyarakat, di samping memberi ruang kepada pengguna jalan raya menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Kasim menjelaskan diskaun itu tidak terpakai bagi saman tertentu seperti kes kemalangan, Op Selamat, saman tidak boleh kompaun, saman bicara mahkamah, kenderaan berat, kesalahan potong secara bahaya atau potong barisan, penggunaan lorong kecemasan, tidak mematuhi lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, serta pengubahsuaian ekzos kenderaan.






