ENGLAND – Majlis konvokesyen merupakan hari dinantikan mana-mana pelajar dan setiap orang akan meraikannya dengan cara tersendiri.
Tetapi seorang pelajar perempuan berusia 24 tahun dari negara China meraikan detiknya dengan cara sehingga beliau menjadi tular di laman sosial.
Video Chen Yining, dari Beijing, melakukan pusingan gimnastik ala-ala gaya Kung Fu menentang graviti sempena sambutan tamat pengajiannya mendapat berjuta-juta tontonan atas talian.
The South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa Chen, yang menerima ijazah pascasiswazah dalam Latihan dan Persembahan Tarian daripada University Roehampton di England pada Januari berkata dia melakukan aksi kerana teruja.
Chen menambah bahawa dia terkejut dengan sambutan yang menggalakkan.
Setelah kembali ke negara asal, Chen memuat naik klip video majlis graduasinya di laman media sosial Douyin pada 3 Mac dengan sambutaan daripada jutaan orang yang memuji keyakinannya.
Seorang pengulas melihat stereotaip terhadap orang Cina dan menulis, “Kini lebih sukar untuk menjelaskan kepada orang asing bahawa tidak semua orang Cina merupakan ahli kung fu.”
Seorang pengguna lain menulis: “Dia menunjukkan gaya dan karisma, penuh dengan semangat yang merangkumi harapan generasi muda kita,” katanya.