Semua Pendakwah Wajib Miliki Tauliah Rasmi di Sabah – Arifin

Semua Pendakwah Wajib Miliki Tauliah Rasmi di Sabah – Arifin

0
SHARE

KOTA KINABALU: Semua individu yang ingin mengajar, berdakwah atau menyampaikan ceramah agama di Sabah diwajibkan memiliki tauliah rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan ajaran Islam yang disampaikan berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, syarat itu merupakan antara langkah berterusan kerajaan negeri dalam memantau dan mengekang penyebaran ajaran sesat, fahaman menyeleweng serta doktrin yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sahih.

Menurut beliau, setiap permohonan tauliah perlu melalui proses tapisan dan temu duga yang dikendalikan oleh Jabatan Mufti Negeri Sabah sebelum kelulusan diberikan.

“Tauliah ini wajib dan proses temu duga turut dilaksanakan sebelum seseorang itu diberikan kebenaran untuk mengajar atau berdakwah di Sabah. Langkah ini penting bagi memastikan ajaran yang disampaikan sentiasa berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya ketika ditemui media di Kota Kinabalu, Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan siasatan terhadap individu yang dikaitkan dengan fahaman Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam

Arifin berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sedang menjalankan siasatan lanjut dan proses mendapatkan keterangan daripada individu terlibat sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah No. 3 Tahun 1995.

“Mereka yang terlibat telah dipanggil dan proses mendapatkan keterangan sedang berjalan. Tindakan ini dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di negeri ini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan penyelewengan akidah dan akan terus memperkasakan usaha pemantauan melalui kerjasama erat antara Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), JHEAINS dan Jabatan Mufti Negeri Sabah.

Menurutnya, pelbagai program dakwah, pendidikan dan kesedaran agama turut dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam yang sebenar.

Selain itu, JHEAINS juga bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui jawatankuasa pemantauan khas yang diwujudkan bagi memantau serta mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan akidah umat Islam di Sabah.

“Perkara yang berhubung dengan akidah sentiasa diberikan perhatian serius. Kita akan terus memantau dan memastikan semua pengajaran agama di Sabah kekal berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.