Rakyat Sabah Punya Hak Pilih Mana-Mana Parti Politik – Harapan Rakyat

Rakyat Sabah Punya Hak Pilih Mana-Mana Parti Politik – Harapan Rakyat

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat Sabah mempunyai hak untuk meninggalkan mana-mana parti politik, termasuk menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN), sesuai dengan keperluan dan kepercayaan politik mereka.

Memetik kenyataan di akhbar Daily Express, Naib Presiden Ketua Pemuda Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Jovilis Majami berkata tiada siapa termasuk pemimpin politik tertinggi seperti Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi boleh memberitahu atau menyeru sesiapa termasuk rakyat Sabah untuk tidak berbuat demikian.

Ini kerana, katanya, ia adalah hak rakyat untuk keluar dan menyertai mana-mana parti yang mereka suka di Malaysia yang merupakan negara demokrasi.

“Rakyat di Sabah tidak boleh dipengaruhi oleh kenyataan baru-baru ini oleh Timbalan Perdana Menteri yang meminta mereka menolak sebarang usaha ‘Brexit’ untuk membawa mereka keluar dari BN dan UMNO.

“Sebenarnya tidak ada isu ‘Brexit’ di sini untuk mengambil sesiapa pun dari mana-mana parti kerana setiap orang mempunyai hak untuk meninggalkan dan menyertai mana-mana parti yang dia suka. Tiada sesiapa yang boleh menghalangnya,” katanya kepada Daily Express di sini.

Jovilis mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid pada Ahad baru-baru ini yang memberi amaran kepada rakyat berkenaan tindakan untuk ‘Brexit’ rakyat Sabah daripada UMNO dan BN yang boleh menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negeri.

Beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa pembangkang cuba mempengaruhi orang Sabah untuk berbuat demikian memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi dan ia akan menjadi satu kerugian besar kepada rakyat di Sabah jika mereka mengamalkan langkah itu kerana hubungan antara Kerajaan Sabah dan Persekutuan sangat rapat.

Jovilis berkata rakyat Sabah telah hidup di bawah tadbir UMNO dan BN selama lebih dua dekad kini dan Sabah masih merupakan negeri termiskin di negara ini dengan kurangnya pembangunan fizikal berbanding dengan tahap pembangunan di Semenanjung.

“UMNO dan BN telah lama berada di Sabah, mereka masih belum menyerahkan hak Sabah yang ditetapkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara lain.

“Oleh itu, rakyat mempunyai hak mutlak untuk menolak UMNO dan BN, dan memilih mana-mana parti yang lebih baik untuk masa depan mereka dan Negeri,” katanya.

Pada tahun 1980-an, Jovilis berkata ramai orang di Sabah tidak menyedari dan tidak mempunyai pengetahuan tentang isu-isu MA63.

“Tetapi sekarang, Sabah telah matang dan telah terdedah kepada MA63 dan isu-isu penting berkenaan hak-hak Sabah dan manfaat rakyat yang belum diserahkan atau dilaksanakan, yang menyebabkan rakyat Sabah kecewa.

“Oleh itu, tidak hairanlah bahawa sesetengah rakyat Sabah merasa tidak ada alasan untuk kekal dalam parti yang tidak memenuhi keperluan dan kepentingan mereka,” katanya.

Mengenai kerugian besar bagi rakyat Sabah dalam langkah ‘Brexit’, Jovilis berkata tidak ada istilah ‘kerugian’ bagi rakyat di Sabah kerana mereka telah mengalami ‘kerugian’ dan jika mereka terus berada dalam parti yang sama, terdapat lebih banyak kerugian untuk mereka tanggung yang boleh menjejaskan masa depan anak-anak mereka dan generasi akan datang.

Berkenaan kenyataan Ahmad Zahid bahawa perkongsian kuasa wujud di kalangan parti komponen, Jovilis berkata beliau percaya keadaan sedemikian tidak dilaksanakan dengan baik kerana beberapa parti komponen telah menyuarakan ketidakpuasan mereka dalam parti dan media sosial.

Sehubungan dengan ini, beliau berkata rakyta Sabah mempunyai pilihan parti politik dan pakatan seperti Gabungan Sabah yang terdiri daripada parti pembangkang tempatan seperti Harapan Rakyat, Parti Maju Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), antara lain.

Beliau berkata, Gabungan Sabah mempunyai 15 perjuangan politik utama seperti kenaikan royalti minyak, perkongsia kuasa yang sama dan autonomi sepenuhnya, MyKad Sabah, menyelesaikan tuntutan Sabah, memperkasakan komuniti pertanian dan perikanan, memansuhkan dasar kabotaj, sifar cukai barang perkhidmatan (Zero GST) dan meningkatkan keselamatan Sabah, antara lain.