Masyarakat Perlu Hayati Malaysia Madani

Masyarakat Perlu Hayati Malaysia Madani

0
SHARE
Norali
Norali ketika memberi ucapan aluan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Masyarakat perlu menghayati konsep Malaysia Madani yang menjadi asas hala tuju Malaysia.

Timbalan Pengarah Keselamatan Negeri Sabah, Norali Ag Damit berkata selain menghayati, masyarakat juga digesa mengamalkan secara serius konsep integriti dan ketelusan tatakelola yang menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan.

“Pada 1 Februari 2023, Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperkenalkan konsep Malaysia Madani sebagai asas hala tuju negara.

“Ia berbentuk konsep dan panduan serta ikhtiar secara bersepadu bagi mencorak pentadbiran yang lebih bersifat manusiawi.

“Konsep ini amat diterima baik oleh segenap rakyat dan frasa Madani yang ‘catchy’ berjaya mendapat tempat di hati masyarakat umum di seluruh negara.

“Dalam apapun kapasiti mereka sama ada penjawat awam, pemimpin masyarakat, pemain industri, tenaga pengajar boleh menghayati konsep Madani ini dengan lebih mendalam,” katanya semasa Program Bicara Madani, pada Khamis.

Menurut beliau, program yang dihadiri 200 penjawat awam itu bertujuan mengadun keserasian antara kerajaan baharu, penjawat awam dan masyarakat agar dapat mengaplikasikan konsep Malaysia Madani dalam tugasan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Selain itu, ujarnya, program seumpama juga dapat mengelakkan penyebaran misinformation dan disformation (maklumat palsu dan maklumat salah) di peringkat perkhidmatan awam seterusnya ke akar umbi.

Program sehari berkenaan mengetengahkan dua sesi perkongsian iaitu Taklimat Isu Semasa Negeri Sabah oleh Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa, sementara Taklimat Bicara Madani: Dasar, Transformasi dan Visi Malaysia Madani pula disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi dan Komuniti), Jabatan Komunikasi Komuniti, Datuk Ismail Yusop. — JABATAN PENERANGAN SABAH