KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan memberi tumpuan kepada pembangunan tiga taman perindustrian baharu di negeri ini tahun ini.
Menterinya merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, projek itu melibatkan Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat, Taman Perindustrian Kota Belud dan Taman Perindustrian Beaufort.
Menurutnya, pembangunan berkenaan adalah sebahagian strategi kerajaan negeri untuk memperkasa sektor perindustrian, memperluas kawasan pelaburan serta merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif.
“Pembangunan sektor pembuatan merupakan pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi Sabah serta asas dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Kementerian akan terus komited menarik pelaburan berimpak tinggi serta memudah cara urusan pelaburan secara bersepadu bersama agensi berkaitan bagi memastikan Sabah kekal berdaya saing sebagai destinasi pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Ewon berkata, bagi Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat, pelan induk pembangunan sedang disediakan oleh SEDCO.
Katanya, Taman Perindustrian Kota Belud di bawah KKIP Sdn Bhd pula telah mempunyai pelan induk yang diluluskan, dengan fokus seterusnya kepada penyediaan infrastruktur dan utiliti.
“Bagi Taman Perindustrian Beaufort, kajian kesesuaian tanah telah dilaksanakan dan proses seterusnya melibatkan pengambilan tanah serta penyediaan pelan induk,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata MINDET turut memperkukuh pembangunan keusahawanan melalui perluasan akses pasaran produk tempatan serta kerjasama strategik dengan pasar raya dalam dan luar negara.
Katanya, kementerian juga akan melaksanakan kursus bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi meningkatkan kesedaran dan pematuhan perlindungan harta intelek dalam kalangan usahawan.
Selain itu, penyertaan dalam ekspo perdagangan antarabangsa di beberapa negara akan diteruskan bagi memperluas pasaran global.
“Nilai eksport produk pembuatan Sabah meningkat kepada RM8.78 bilion pada 2025 berbanding RM8.31 bilion pada 2024, mencerminkan potensi besar usahawan tempatan di pasaran global,” katanya.
Bagi menyokong produk tempatan, Ewon berkata, Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah akan diteruskan menerusi penganjuran Karnival Usahawan PMKS di beberapa daerah, termasuk Tenom, Tawau dan Kuala Penyu tahun ini.
Katanya, Program Outreach SME-UP 2026 2.0 juga akan dilaksanakan di seluruh negeri bagi memperluas penyertaan usahawan, dengan tempoh permohonan bantuan dilanjutkan sehingga 16 Mei ini.
Sementara itu, dalam sektor pengangkutan, beliau berkata kementerian akan memulakan Kajian Pelan Induk Pengangkutan Mampan Sabah (SSTMP) tahun ini sebagai rangka kerja jangka panjang bagi membangunkan sistem pengangkutan yang lebih cekap, bersepadu dan mampan.
“Inisiatif ini dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi negeri, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta memperkukuh hubungan antara wilayah,” katanya.






