KUALA LUMPUR: Peranti had laju (SLD) yang diperkenalkan AetherDrive dilihat mampu menjadi asas penting dalam memperkukuh ekosistem keselamatan kenderaan komersial secara menyeluruh di negara ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah Shanghai Xingrong Automotive Technology Co., Ltd, Jackie Cai Jiye berkata, syarikat itu tidak hanya menumpukan kepada penjualan peranti semata-mata, sebaliknya komited membangunkan infrastruktur keselamatan pintar yang stabil dan berdaya tahan untuk industri pengangkutan.
Menurut beliau, SLD merupakan sebahagian daripada komponen dalam ekosistem yang lebih luas melibatkan aspek keselamatan, kawalan dan pengurusan kenderaan secara pintar.
“Teknologi ini telah digunakan lebih 20 tahun di China dan terbukti berkesan dalam mengawal kelajuan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya,” katanya pada majlis pelancaran produk SLD kenderaan komersial, di sini hari ini.
Beliau berkata, isu kelajuan berlebihan dikenal pasti sebagai antara punca utama kemalangan, justeru kawalan kelajuan yang konsisten amat penting dalam meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Tambahnya, berdasarkan pengalaman di China, pelaksanaan kawalan kelajuan yang ketat mampu mengurangkan risiko kemalangan secara signifikan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa tidak semua sistem SLD selamat digunakan kerana terdapat peranti yang memperlahankan kenderaan secara mendadak sehingga boleh menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu, katanya, teknologi yang dibangunkan pihaknya direka bagi memastikan kawalan kelajuan dilakukan secara stabil dan berperingkat.
“Peranti ini sesuai digunakan merentasi pelbagai sektor termasuk logistik, minyak dan gas serta pengangkutan komersial lain,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengalaman di China yang mempunyai lebih 35 jenis kenderaan komersial memberi keyakinan bahawa teknologi tersebut boleh disesuaikan dengan pasaran Malaysia yang lebih kecil dan kurang kompleks.
“Setakat ini, kami tidak melihat sebarang kekangan besar kerana kebanyakan jenis kenderaan di Malaysia turut terdapat di China,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pihaknya terbuka untuk menjalin kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan bagi memperkukuh pembangunan teknologi serta memahami keperluan pasaran domestik.
Selain itu, syarikat berkenaan turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta kelancaran pelaksanaan sistem.
“Matlamat kami adalah untuk menjadi rakan strategik jangka panjang dalam usaha membangunkan sistem pengangkutan yang lebih selamat, pintar dan tersusun di Malaysia,” katanya.






