KUDAT: Cubaan tiga warga Filipina untuk menyeludup keluar barang kawalan dari perairan negara berjaya digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat di perairan Kudat, awal pagi Ahad lalu.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan Unit Perisikan Zon Maritim Kudat yang mengesan aktiviti pemunggahan minyak dan barang kawalan di sekitar perairan tersebut sekitar pukul 12.13 tengah malam.
“Bertindak atas maklumat tersebut, aset rondaan Maritim Malaysia segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan.
“Setibanya di lokasi berkenaan, sebuah bot mencurigakan dikesan berada di kedudukan kira-kira 4.2 batu nautika timur laut Pulau Tiga dan dipercayai sedang menuju ke perairan sempadan Malaysia-Filipina,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya segera bertindak memintas bot berkenaan dan melakukan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa enam tong berwarna biru berisi minyak petrol, 100 pek tepung gandum, dan 120 pek gula yang dipercayai untuk diseludup keluar.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati tiga individu yang mengendalikan bot berkenaan merupakan warga Filipina berusia antara 20 hingga 21 tahun dan ketigatiga mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” tambahnya.
Suspek bersama bot dan kesemua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk tindakan lanjut.
Anggaran keseluruhan nilai rampasan, termasuk bot yang digunakan, adalah lebih RM21 ribu.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit sah, Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah, serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
Dalam pada itu, Zon Maritim Kudat menyeru masyarakat, khususnya komuniti maritim di kawasan perairan Kudat, agar bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan melalui talian Pusat Operasi Kudat di 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.