BEAUFORT: Pembinaan beberapa buah dewan terbuka di kawasan Lumadan berperanan penting sebagai pemangkin ekonomi tempatan dan pusat aktiviti belia, sekali gus memberi manfaat menyeluruh kepada penduduk kampung.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, kemudahan dewan terbuka yang dibina di setiap zon dan kampung kini dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat, khususnya peniaga kecil, golongan belia dan pelajar sekolah.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, dewan-dewan berkenaan menjadi lokasi utama penganjuran tamu desa, program keusahawanan serta platform kepada peniaga tempatan untuk memasarkan hasil pertanian, perikanan dan produk kampung secara lebih teratur dan selesa.
“Setiap minggu peniaga tempatan menggunakan kemudahan ini untuk berniaga. Secara tidak langsung ia membantu meningkatkan pendapatan rakyat serta menggerakkan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Dewan Tamu Desa Kampung Bangkalalak, di sini, pada Selasa.
Selain fungsi ekonomi katanya, dewan terbuka turut berperanan sebagai pusat tumpuan aktiviti belia termasuk riadah, sukan dan program pembangunan sahsiah, sekali gus menyediakan ruang yang selamat dan kondusif kepada golongan muda.
Tambahnya, kemudahan yang dilengkapi pentas, tandas, bilik persalinan serta ruang terbuka membolehkan pelbagai program komuniti, aktiviti sekolah dan majlis sosial seperti perkahwinan dianjurkan dengan lebih teratur.
“Dengan adanya dewan di setiap kampung, belia tidak perlu pergi jauh untuk menjalankan aktiviti, manakala masyarakat pula mempunyai ruang sesuai bagi pelbagai program dan majlis,” katanya.
Ruslan menegaskan pembinaan dewan terbuka merupakan antara usaha berterusan kerajaan bagi memenuhi keperluan rakyat, memperkukuh perpaduan komuniti serta menyokong pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan luar bandar.
Beliau yakin kemudahan tersebut akan terus dimanfaatkan secara optimum oleh masyarakat setempat demi kesejahteraan bersama.






