795 Permohonan Geran Di Bawah MyICE Diluluskan

795 Permohonan Geran Di Bawah MyICE Diluluskan

0
SHARE
Ketua Pengarah JPPM Mohd Nawardi Saad...

KUALA NERUS, TERENGGANU – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah meluluskan sebanyak 795 permohonan geran di bawah Insentif Pemerkasaan Komuniti Malaysia (MyICE) bernilai RM7.616 juta setakat hari ini.

Ia adalah sebahagian daripada 1,450 permohonan yang diterima pihaknya membabitkan pelbagai pertubuhan seperti keselamatan, kebajikan, sosial, alam sekitar dan hak asasi.

Ketua Pengarah JPPM Mohd Nawardi Saad berkata, daripada jumlah itu, terdapat permohonan yang ditolak kerana tidak bersesuaian dengan ketetapan dan hasrat JPPM manakala sebahagian masih dalam proses.

“(Selain itu), ada (permohonan) yang kita tak tolak sepenuhnya dan ada yang diminta untuk mohon semula sebab apa yang dibentangkan tidak bersesuaian dengan ketetapan dibuat.

“(Bagi permohonan yang ditolak), jumlahnya lebih daripada 100 dan kita tidak sekat mereka untuk mohon semula,” katanya…

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan ‘Mock Cheque’ Geran di bawah Insentif Pemerkasaan Komuniti Malaysia (MyICE) Tahun 2022 di Pentas Utama, Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.

Menurut Mohd Nawardi, kerajaan memperuntukkan RM20 juta setiap dengan sasaran sekurang-kurangnya 2,000 pertubuhan yang akan menerima manfaat ini.

Katanya, pertubuhan yang layak akan menerima geran maksimum sehingga RM10,000 bergantung kepada penilaian yang dibuat JPPM.

“Sebelum ini, kita tetapkan permohonan untuk geran ini sehingga 31 Mei lalu tetapi memandangkan geran ini masih berbaki, kita lanjutkan sehingga 31 Julai depan.

“Kita harap kita dapat menghabiskan keseluruhan geran yang ditetapkan oleh kerajaan dan mengalu-alukan permohonan daripada semua pertubuhan dalam kategori yang sudah ditetapkan untuk bersama-sama mendapatkan geran ini,” katanya.