KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi apabila memeterai Letter of Intent (LoI) bersama Zhejiang University of Science and Technology (ZUST) dalam usaha memperluaskan kerjasama akademik dan penyelidikan di peringkat global.
LoI berkenaan ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Rossita Shapawi mewakili UMS, manakala pihak ZUST diwakili oleh Deputy Party Secretary, Shan Shengdao dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di UMS baru-baru ini.
Rossita berkata, kerjasama strategik itu merupakan langkah awal ke arah hubungan akademik yang lebih besar dan bermakna antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi.
“Kerjasama ini diyakini akan membuka ruang kepada pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi, khususnya dalam program pendidikan tinggi, kerjasama penyelidikan saintifik, mobiliti staf akademik serta pertukaran pelajar di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.
“UMS khususnya melalui Fakulti Sains dan Teknologi (FST) amat komited memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan hubungan ini ke arah pencapaian yang memberi impak kepada perkembangan ilmu, pembangunan program akademik dan jaringan antarabangsa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dekan FST UMS, Rodeano Roslee serta Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS bersama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis berkenaan.
Melalui LoI tersebut, kedua-dua universiti menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam beberapa bidang utama termasuk pertukaran staf akademik dan pentadbiran, latihan bersama pelajar, pelaksanaan projek penyelidikan bersama, pertukaran bahan akademik dan penerbitan saintifik serta pelbagai program akademik lain yang dipersetujui bersama.
ZUST merupakan universiti awam yang dibiayai oleh Kerajaan Wilayah Zhejiang dan terkenal dalam bidang kejuruteraan, sains gunaan, teknologi, inovasi serta kerjasama antarabangsa dengan jaringan institusi pendidikan global yang luas.
Delegasi ZUST turut dibawa melawat beberapa fasiliti akademik dan makmal penyelidikan di FST UMS termasuk Water Research Unit (WRU) dan Seaweed and Natural Product (SNaP) Research Unit bagi memperkenalkan kekuatan penyelidikan UMS yang berteraskan biodiversiti tropika dan ekosistem marin Sabah.
Majlis tersebut sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkukuh kedudukan sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.






