Jambatan Timpangoh-BabagonSiap Awal, Pacu Ekonomi Penduduk Penampang

Jambatan Timpangoh-BabagonSiap Awal, Pacu Ekonomi Penduduk Penampang

0
SHARE

PENAMPANG: Projek Jambatan Timpangoh-Babagon bernilai RM16.8 juta berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal sekali gus menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Mukim Babagon.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, projek berkenaan sepatutnya siap pada Julai tahun ini, namun Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan sijil perakuan siap pada April lalu sebelum jambatan itu dirasmikan pada Sabtu lalu.

“Keistimewaan projek ini ialah ia berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal dan ini memberi mesej bahawa projek pembangunan juga boleh dilaksanakan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan,” katanya selepas merasmikan jambatan berkenaan sempena sambutan Kaamatan Zon Pertanian Babagon.

Menurut Ahli Parlimen Penampang itu, sebelum ini ribuan penduduk di kawasan berkenaan bergantung kepada laluan low level crossing yang sering tidak dapat dilalui apabila paras air Sungai Moyog meningkat terutama ketika hujan lebat.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kesukaran kepada pelajar dan penduduk kampung selain menjejaskan aktiviti harian termasuk pengangkutan hasil pertanian.

“Dengan siapnya jambatan ini, hasil pertanian kini boleh dibawa keluar 24 jam sehari selain memudahkan agensi kerajaan mengadakan kunjungan ke kampung-kampung di kawasan zon pertanian ini pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata SMK Kipovo di Kampung Babagon dijangka mula beroperasi tahun hadapan berdasarkan taklimat yang diterima daripada pejabat pendidikan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan khas sebanyak RM7.3 juta bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke sekolah berkenaan meskipun projek bekalan air luar bandar Moyog masih belum dimulakan.

Katanya, peruntukan yang diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu melibatkan pemasangan paip dan penyaluran bekalan air dari stesen di Kampung Madsiang ke sekolah terbabit.

“Saya amat menghargai keputusan Ketua Menteri yang meluluskan peruntukan khas ini dan saya yakin Jabatan Air selaku agensi pelaksana akan dapat memulakan proses perolehan pada tahun ini.

“Apabila sekolah ini dibuka tahun hadapan, bekalan air juga dijangka sudah tersedia,” katanya.

Ewon turut menegaskan kerajaan negeri komited meneruskan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan luar bandar menerusi Pelan Pembangunan Penampang 2024-2035 melibatkan sektor pelancongan, pertanian dan pemilikan tanah demi manfaat rakyat setempat.