Lelaki Yang Dipukul Hingga Mati Didapati Positif Syabu, Ganja

Lelaki Yang Dipukul Hingga Mati Didapati Positif Syabu, Ganja

0
SHARE
PDRM
Logo PDRM ( Sumber Foto: Google )

PETALING JAYA, SELANGOR – Lelaki 42 tahun yang dipukul sehingga mati selepas melanggar dua kenderaan di di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang pada Selasa, didapati positif dadah jenis syabu dan ganja.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa itu juga didapati memiliki 10 rekod dadah dan turut dikehendaki polis.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa melanggar dua kenderaan lain sebelum ditemui meninggal dunia dipercayai akibat dipukul.

“Kita turut menahan dua lagi lelaki masing-masing berusia 22 dan 39 tahun di Kajang, semalam, yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Kita percaya ada lagi individu lain yang akan ditahan selepas ini, selain sudah menerima laporan dibuat oleh dua pemilik kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya kepada media hari ini.

Sebelum ini, lima lelaki berusia antara 22 hingga 52 tahun ditahan selepas disyaki memukul seorang pemandu kereta sehingga mati selepas kemalangan di taman berkenaan.

Polis menerima maklumat mengenai kemalangan pada jam 9.20 malam.

Anggota trafik di lokasi kejadian menjumpai sebuah kereta Proton Saga terbabas melanggar pagar kawasan perumahan.

Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas jalan manakala hasil pemeriksaan mendapati ada kesan pada pergelangan tangan seperti bekas ikatan.

Hussein berkata motif kejadian masih disiasat selepas bedah siasat mendapati tiada kecederaan ketara pada mangsa yang menyebabkan kematian.

“Kami masih lagi menunggu keputusan analisis makmal bagi mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya.