Bomba Selamatkan 13 Pendaki Sesat di Bukit RDC Sepilok

Bomba Selamatkan 13 Pendaki Sesat di Bukit RDC Sepilok

0
SHARE

SANDAKAN: Seramai 13 pendaki termasuk 12 wanita berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas dilaporkan sesat ketika menjalankan aktiviti mendaki di kawasan bukit Rainforest Discovery Centre (RDC) Sepilok, malam tadi.

Kesemua mangsa dipercayai gagal mencari laluan keluar selepas keadaan di kawasan bukit menjadi gelap sebelum menghubungi pihak kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 malam.

Menurutnya, seramai lima anggota bersama sebuah jentera Compact Rescue Tender (CRT) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.

Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati semua mangsa masih berada di atas bukit dan tidak dapat mencari laluan keluar.

“Pasukan bomba kemudian berjaya menemui kesemua mangsa sebelum mengiringi mereka turun dengan selamat hingga ke pintu utama RDC,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.14 malam selepas pihak bomba memastikan semua mangsa berada dalam keadaan selamat.