WASHINGTON, AS – Bumi dijangka mempunyai ‘Bulan kedua’ buat sementara waktu apabila sebuah asteroid kecil mula mengorbit planet ini pada akhir September, lapor United Press International (UPI).
Memetik sumber Bernama- UPI, asteroid itu dikenali sebagai 2024 PT5 berasal dari jaluran asteroid Arjuna, menurut penyelidik di Asteroid Terrestrial-impact Last Alert System (ATLAS) yang dibiayai oleh NASA, iaitu sistem pemantauan asteroid di Afrika Selatan.
Penyelidik berkata bahawa tarikan graviti Bumi akan menarik ‘Bulan mini’ itu ke arah planet ini dan ia akan mengorbit Bumi bagi tempoh hampir dua bulan bermula 29 September hingga 25 November.
Terdapat beberapa objek yang pernah memasuki orbit Bumi sebelum ini, tetapi kebiasaannya tidak melengkapkan putaran penuh dan tidak bertindak seperti Bulan sebenar.
Saintis menjangkakan bahawa asteroid ini akan kembali pada 2055.
Walaupun fenomena ini menarik perhatian yang meluas, asteroid 2024 PT5 tidak akan kelihatan dengan mata kasar atau melalui teleskop biasa yang digunakan di halaman rumah.
Penyelidik utama dan Profesor dari Universidad Complutense de Madrid, Carlos de la Fuente Marcos berkata 2024 PT5 akan mencapai jarak kira-kira 4.5 juta kilometer (km) dari Bumi dan bergerak pada kelajuan sekitar 3,540.52,200 km/sejam, membolehkan ia dipengaruhi oleh tarikan Bumi untuk sementara waktu.
“Dalam keadaan ini, tenaga geosentrik objek mungkin menjadi negatif, dan objek itu boleh menjadi Bulan sementara Bumi.
“Asteroid ini akan mengalami proses itu bermula minggu depan dan berterusan selama kira-kira dua bulan. Ia tidak akan mengikuti orbit penuh mengelilingi Bumi,” kata Marcos yang memantau aktiviti asteroid itu selama beberapa minggu.