Dua Mangsa Termasuk Seorang Juruterbang Dalam Pesawat Terhempas

Dua Mangsa Termasuk Seorang Juruterbang Dalam Pesawat Terhempas

0
SHARE
Serpihan BK 160 Gabriel yang terhempas

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan terdapat dua mangsa termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat ringan model BK 160 Gabriel, yang terhempas di Kapar tengah hari tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud dalam kenyataan memaklumkan, keadaan kedua-dua mangsa bagaimanapun masih belum dapat dipastikan setakat ini, lapor Bernama.

Beliau berkata, sebelum kejadian, pesawat dengan nombor pendaftaran I-POOC yang dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club itu, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

“Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada 1.35 petang, namun tiada panggilan kecemasan diterima,” katanya.

Tambah beliau, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.