KUANTAN: Bekas Yang di-Pertuan Agong, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan agar keamanan, keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia terus dipelihara sempena sambutan Hari Natal.
Menerusi perutusan bersempena perayaan itu, Paduka Baginda berdua turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Natal kepada masyarakat beragama Kristian di negeri Pahang dan seluruh negara.
Paduka Baginda menekankan kepentingan mengekalkan suasana aman dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama yang menjadi asas kekuatan dan kestabilan negara.
Selain itu, Paduka Baginda berdua berharap sambutan Hari Natal kali ini membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan kegembiraan kepada mereka yang menyambutnya, khususnya dalam menghargai detik-detik bermakna bersama keluarga dan insan tersayang.
Perutusan tersebut mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan institusi diraja Pahang dalam memupuk nilai keharmonian dan kebersamaan demi kesejahteraan rakyat dan negara.






