JKR Sabah Dan SEDCO Teroka Peluang Kerjasama Majukan Infrastruktur Negeri

JKR Sabah Dan SEDCO Teroka Peluang Kerjasama Majukan Infrastruktur Negeri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) kini dalam perbincangan awal untuk meneroka peluang kerjasama strategik bagi memperkasa pembangunan infrastruktur negeri, khususnya menerusi projek-projek berskala besar seperti Lebuhraya Pan Borneo.

Sesi libat urus yang berlangsung di Kota Kinabalu itu diketuai oleh Pengurus Besar Kumpulan SEDCO yang baharu, Datuk Ar. James Wong Kein Peng, dan dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Lebuhraya Pan Borneo JKR Sabah, Ir. Mohd Shamsul Nizam Haji Abdul Wahid.

James dalam ucapannya menegaskan komitmen SEDCO sebagai syarikat milik kerajaan negeri untuk terus menyokong agenda pembangunan kerajaan.

“SEDCO, bersama anak syarikatnya, bersedia sepenuhnya membantu usaha kerajaan memperkukuh pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri,” katanya.

Sesi tersebut turut disertai wakil daripada anak syarikat utama SEDCO termasuk SEDCO Precast, Cement Industries Sabah, Steel Industries Sabah, Perkasa Trading, Nippon Paint dan IIB Insurance Brokers – mewakili kekuatan industri negeri dalam sektor bahan binaan dan sokongan kejuruteraan.

Ir. Mohd Shamsul dalam taklimatnya berkongsi perkembangan terkini projek Lebuhraya Pan Borneo dan usaha JKR mempercepat pelaksanaan. Beliau melihat kerjasama dengan SEDCO sebagai langkah strategik.

“Saya sudah lama melihat potensi kerjasama dengan SEDCO, khususnya dalam pembekalan keluli dan simen. Hari ini kita mula langkah penting itu,” katanya.

Antara isu utama yang dibincangkan termasuk kekangan bekalan bahan, kekurangan tenaga kerja mahir, kemampuan kontraktor tempatan dan keperluan untuk mengadaptasi teknologi kejuruteraan moden.

Kedua-dua pihak melihat peluang pelaburan dalam teknologi dari luar negara dan pemerkasaan rantaian pembuatan sebagai langkah jangka panjang yang mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Ir. Shamsul turut menggesa agar cadangan teknologi yang membawa manfaat nyata dan penjimatan kos dikemukakan secara rasmi.

“Apa yang penting adalah nilai tambah untuk Sabah dan rakyat,” ujarnya.

Datuk James pula menekankan kepentingan membuka peluang kepada anak tempatan untuk terlibat secara langsung dalam projek infrastruktur.

“Pembangunan infrastruktur adalah pemacu utama kemajuan ekonomi. Kita perlu mula kaji teknologi baharu dan beri keutamaan kepada rakyat Sabah untuk terlibat dan belajar,” katanya.

JKR Sabah menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan minat untuk memeterai kerjasama rasmi dengan SEDCO demi mempercepat pencapaian pembangunan dan transformasi ekonomi Sabah – sambil memfokus kepada pemindahan ilmu dan pembangunan bakat tempatan.