KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke -10.
Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya telah mengadakan satu pertemuan semalam bersama Muhyiddin berhubung perkara terbabit.
“GRS berpandangan adalah perlu pembentukan kerajaan Persekutuan dilaksanakan pada kadar segera untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi sepenuhnya, khususnya dalam memuktamadkan penggubalan belanjawan untuk tahun 2023…
“GRS mengambil keputusan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan bersama PN dan parti dari Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti lain yang bersedia untuk membentuk kerjasama.
“GRS sentiasa komited untuk membawa citra kesatuan demi kepentingan rakyat dan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam perkembangan lain, dilaporkan Muhyiddin menyatakan keyakinan beliau sudah memperoleh bilangan sokongan mencukupi baginya menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-10.
Sementara itu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dalam sidang media khas semalam dilaporkan bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan membabitkan PN, BN dan GRS.