HOUSTON, TEXAS – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika (NASA) membuka permohonan kepada EMPAT (4) individu yang layak untuk tinggal selama setahun di Mars Dune Alpha iaitu sebuah ‘fasiliti simulasi’ keadaan di planet Marikh.
Fasiliti seluas 1,700 kaki persegi itu dibina menggunakan teknologi percetakan 3D yang terletak dalam bangunan Johnson Space Center di Houston bagi menempatkan individu yang bakal NASA jadikan sebagai angkasawan untuk dihantar ke Marikh.
Kumpulan sukarelawan berbayar itu akan menjalankan misi eksplorasi Marikh yang disimulasikan, lengkap denganĀ space walk, komunikasi terhad, kekurangan makanan dan sumber serta masalah kelengkapan.
NASA merancang tiga eksperimen, dengan yang pertama bermula pada musim luruh tahun hadapan.
“Kami ingin memahami bagaimana manusia berfungsi di dalamnya. Kami mahu melihat keadaan sebenar di Marikh,” kata Ketua Saintis, Grace Douglas.
Proses permohonan dibuka pada Jumaat lalu, namun ada kelayakan tertentu yang dicari pihak NASA.
Syarat pemilihan sangat ketat, termasuk memiliki ijazah sarjana dalam bidang sains, kejuruteraan atau matematik atau pengalaman sebagai juruterbang.
Hanya warganegara Amerika Syarikat atau penduduk tetap sahaja yang layak, dan pemohon mestilah berumur antara 30 hingga 55 tahun, mempunyai kesihatan fizikal yang baik tanpa masalah diet dan tidak mempunyai masalah mabuk perjalanan.
“Ini bermakna NASA sedang mencari mereka yang hampir sama dengan angkasawan. Lebih baik mencari individu yang menyamai angkasawan sebenar untuk ke Marikh…
“Usaha Rusia dalam misi olok-olok ke Marikh yang disebut sebagai Mars 500, gagal kerana individu yang dipilih adalah mereka dalam kalangan orang biasa,” kata bekas angkasawan Kanada, Chris Hadfield.