80 Menu Warisan Sabah Dihimpun di Imago Sempena Hari RTM Ke-80

80 Menu Warisan Sabah Dihimpun di Imago Sempena Hari RTM Ke-80

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebanyak 80 menu warisan pelbagai etnik Sabah akan dihimpunkan di Imago Shopping Mall menerusi program khas “80 Menu Sabahan” sempena Sambutan Ulang Tahun Hari RTM Ke-80 pada 24 Mei ini.

Program anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah yang bermula jam 2 petang itu akan dirasmikan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.

Bertemakan “Rasa Kita Warisan Kita”, program tersebut mengetengahkan pelbagai makanan tradisional masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Iranun, Bisaya, Kadayan dan etnik lain di negeri ini sebagai simbol warisan budaya, perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah.

Pengarah Penyiaran Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali berkata, setiap menu yang dipamerkan akan disertakan dengan penerangan ringkas mengenai keistimewaan makanan berkenaan, manakala semua sajian akan disusun membentuk angka “80” sebagai simbolik lapan dekad penyiaran RTM.

Menurutnya, program julung kali diadakan itu turut mendapat kerjasama beberapa persatuan etnik dalam usaha memperkasa sektor agromakanan serta mempromosikan makanan tradisional Sabah sebagai produk pelancongan sempena Tahun Melawat Sabah dan Tahun Melawat Malaysia.

“Melalui program ini diharapkan warisan makanan tradisional Sabah akan terus dihargai dan dipelihara sebagai identiti serta kebanggaan negeri,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.

Beliau turut mengajak orang ramai khususnya sekitar Kota Kinabalu hadir memeriahkan program berkenaan sambil menikmati pelbagai sajian tradisional masyarakat Sabah.